Saturday, August 31, 2013

Hidup Bersama

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak

yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia

menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;

kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;

dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

(A. Samad Said, September 2001)


Happy Independence Day Malaysia

Sunday, August 25, 2013

Cuba

Kesempurnaan
Itu impian mereka
sangkanya terlalu tinggi
semuanya adalah durjana
tidak ada putih pada hitam

Mereka cuba menjadi Tuhan
menghukum tanpa menilai
menilai tanpa mengenal 
mengenal tanpa mencuba

Siapa mereka ?
Itulah mereka
Kita adalah mereka
maka mereka adalah kita

by: Izzat Akmal

Thursday, August 1, 2013

Kenangan

Sejarah atau perkara yang telah berlalu seringkali dilabel sebagai kenangan, kenangan adalah sesuatu yang suka untuk digambarkan. Teringat kisah lalu @ flashback membawa kita mengenang kembali zaman-zaman yang telah direntasi. Barangkali zaman persekolahan dan kanak-kanak.

     Sebenarnya bagi aku kenangan ini hanya indah utk kita kenang bukan utk kita rasai semula, sebab itu ianya digelar sebagai kenangan. Sesuatu yang hanya perlu dikenang. Era modenisasi memudahkan kita utk menyimpan detik-detik indah yang diabadikan dalam foto utk diingati sentiasa. 

     Mengenang masa lampau kadangkala membuat aku tersenyum seketika, segala kenangan pahit dan manis mengukir senyum tika mengenangnya. Betapa indah anugerah kenangan ini apabila dikenang tatkala sudah dewasa. Manusia berubah, selari dengan perubahan dunia. Namun, melihat keindahan masa lalu menjadikan kita lebih mengerti kalimah "syukur".



      Kenangan persekolahan antara yang dimiliki setiap individu, tidak kira sejauh mana anda pergi anda pasti merindui sejarah silam ini. Ianya seperti satu memori klasik yang sentiasa membawa anda terbang. Kisah cinta, tawa, duka dan manis semuanya berada dalam episod persekolahan ini. Semoga kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurnia sekarang. Nikmati sebaiknya masa yang kita ada, jangan nanti ianya sudah menjadi sejarah baru ia disesali.