Tuesday, January 6, 2015

Manusia dan Tuhan

Sejak berkurun lamanya, perbahasan mengenai agama sering dibangkitkan. Sama ada Tuhan itu benar-benar wujud atau tidak ? Pelbagai teori saintifik dikemukan bagi menolak hujah kewujudan Tuhan. Epicurus (342-270 B.C) menolak pendekatan yang mengatakan Tuhan Maha Kuasa dan Penyayang kerana baginya jika Tuhan itu berkuasa sudah pasti tidak akan ada lagi kejahatan di muka bumi ini. Namun, dalam masa yang sama beliau tidak menafi akan kewujudan Tuhan. Ahli Falsafah Teologi Barat menolak pendapat Epicurus kerana mereka menganggap kejahatan itu adalah faktor semula jadi yang wujud bagi menyeimbangkan alam. Perbahasan ini berlarutan dengan panjang lebar.


Pendek cerita, setiap individu mempunyai pendapat tersendiri mengenai Tuhan. Dalam filem Lucy yang menceritakan mengenai penguasaan otak oleh manusia hanyalah 10% sahaja. Namun diakhir filem tersebut Lucy berjaya menguasai 100% otaknya lalu hilang dan apabila ditanya dimana Lucy ? Jawapan yang diberikan adalah "Im everywhere". Terdapat unsur falsafah teologi didalam filem tersebut jika diperhati dengan teliti, pertama ianya seolah-olah cuba mengambarkan penguasaan otak 100% boleh melakukan apa sahaja dan ianya berada dimana-mana. Jika difikir semula ianya seakan mengambar kepada ciri-ciri atau sifat Ketuhanan iaitu hanya Tuhan yang menguasai 100% penguasaan ilmu dan berada dimana-mana. Terdapat dua mesej yang berbeza boleh untuk dijelaskan, pertama adalah mesej hanya Tuhan yang mampu menguasai segalanya dan menguasai ilmu sepenuhnya. Namun, dalam pandangan lain ianya seakan ada unsur teori evolutionism yang cuba untuk menerangkan sebenarnya manusia juga mampu menjadi Tuhan. 


Saya percaya, setiap manusia sebenarnya percaya akan kewujudan Tuhan cuma mereka ini tidak yakin seperti golongan atheist yang sering mencari bukti menolak hujah kewujudan Tuhan. Seakan-akan mereka ini sengaja mencari bukti untuk menambah keyakinan terhadap pegangan mereka. 


Barat suatu ketika dahulu, mereka begitu berpegang pada agama namun setelah penyelewengan yang dilakukan oleh pihak agama seperti penjualan sijil taubat menyebabkan masyarakat ditindas dan tertekan. Seterusnya hingga tercetus gerakan evolusi yang menyebabkan zaman pencerahan berlaku. Ini adalah punca utama mengapa manusia mula kecewa dengan agama ketika itu dan mula tidak percaya akan Tuhan.


Sedekad yang lalu, para sarjana neuropsikologi menemui satu penemuan yang dikenali sebagai "the God spot" yang menjelaskan mengenai kewujudan Tuhan yang sudah lama muncul dalam otak setiap daripada kita. Maknanya, setiap manusia yang lahir sudah mempunyai titik yang dipercayai merupakan kepercayaan agama. Walaupun terdapat beberapa perbahasan dalam kalangan ahli psikologi yang menolak perkara tersebut namun, perkara tersebut telah menyebabkan bidang neurotheology makin berkembang. Bidang neurotheology merupakan salah satu bidang yang mengkaji perkaitan diantara otak dan agama. Dalam kajian yang dilakukan oleh Newberg (2010) menemui terdapat perbezaan aktiviti otak diantara manusia biasa dengan seorang yang berpegang teguh pada agama. Kajian ini telah dilakukan kepada penganut budha yang sedang bermeditasi. Penemuan yang sama turut dijumpai dalam solat.


Dalam erti kata lain, setiap manusia memerlukan spritual feelings yang hanya diperolehi melalui agama. Islam adalah sebuah agama yang mempunyai penganut paling ramai di dunia. Agama yang berpaksi pada kalimah:-

لاَ إِلَهَ إِلَّاالله

sebenarnya  terkandung seribu satu falsafah didalamnya. Kalimah yang berpegang pada Tiada Tuhan melainkan Allah. Yang meletakkan kebergantungan kepada Allah adalah yang utama.

Saya teringat akan persoalan rakan saya yang bertanya mengenai sifat Allah tidak berjisim, bertubuh dan bertangan lalu bagaimana  ?

Jawabnya kerana dia adalah Tuhan. Kerana itu kita tidak mampu fikirkannya. Inilah batas ilmu manusia. Ilmu yang dimiliki hanya setitis dari selautan ilmu Tuhan.

Saturday, January 3, 2015

Penghulu Muadzin

Siapalah yang tidak mengenali nama yang tidak asing daripada hidup setiap muslim. Muhammad. Manusia yang paling hebat. Pembimbing. Pendidik. Pemimpin. Insan yang membawa manusia keluar daripada kegelapan kepada jalan cahaya.


Suatu ketika, setelah pemergian Rasulullah S.A.W.


Abu Bakar bertanya: “Kalau begitu, siapa yang akan azan untuk kami?” Bilal menjawab, dengan titis airmatanya yang menghujani pipinya: “Sesungguhnya aku tidak akan menjadi muazin kepada sesiapapun selepas Rasulullah s.a.w.!”


Abu Bakar cuba untuk memujuk dengan berkata: “Tinggallah di sini dan azanlah untuk kami wahai Bilal!”


Bilal membalas: “Sekiranya engkau telah merdekakan aku dahulu supaya aku tunduk kepadamu, maka letakkanlah aku sebagaimana yang engkau mahu. Tetapi sekiranya engkau merdekakan aku dulu kerana Allah, maka biarkanlah aku untuk apa yang engkau merdekakan aku.” Abu Bakar menjawab: “Bahkan aku merdekakan engkau untuk Allah wahai Bilal!” Maka Abu Bakar r.a. tiada pilihan kecuali membenarkan Bilal memilih jalannya untuk berjihad dan sentiasa berada di medan juang.

Bilal berhijrah ke Sham. Di situlah beliau mengabdikan diri di medan jihad. Membawa diri jauh dari bumi yang mengenangkannya terhadap cintanya pada Rasulullah S.A.W. Selepas beberapa tahun berada di Sham, beliau bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. Baginda berkata kepada Bilal, “Kenapa begitu lama kamu menyepikan diri wahai Bilal? Bilakah masanya kamu akan menziarahi kami lagi?” Bilal terjaga dari tidurnya. Hatinya sungguh sedih. Beliau segera berangkat ke Madinah dan terus menuju ke makam Rasulullah s.a.w.

Bilal menangis dan berguling-guling di situ sehingga Hasan dan Husain menghampirinya. Beliau memeluk dan mencium mereka berdua sepuas-puasnya. Kedua-duanya berkata kepada Bilal: “Kami rindu untuk mendengar azanmu pada waktu dinihari.”


Sebahagian riwayat mengatakan ketika Bilal sampai waktu itu adalah sebelum subuh dan ditakdirkan muadzin yang biasa mengazankan azan sampai sedikit lewat.


Bilal naik ke atas sutuh (bahagian atas) masjid dan mula mengalunkan azannya.
“Allahu Akbar, Allah Akbar”, seluruh Madinah bergegar. Para sahabat terkejut. Sebahagian penduduk yang pernah mendengar alunan azan Bilal ketika Baginda masih hidup tertanya-tanya sehingga mereka berkata "Adakah dibangkitkan kembali Rasulullah S.A.W ?" Bumi Madinah menjadi bumi yang menjadi saksi kerinduan manusia terhadap Baginda.


Apabila tiba ungkapan “Asyhadu an la ilaha illa Allah”, getaran bertambah kuat. Dan apabila tiba ungkapan “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”, Bilal sudah tidak mampu membendung kesedihan hatinya lagi. kalimah yang menjadi saksi Muhammad sebagai Rasul utusan Allah. Terdiam lama, dan apabila hendak disambung dengan laungan kedua kalimah “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”. Bilal rebah, menangis teresak-esak seperti budak kecil. Bilal tidak mampu untuk meneruskan azan. Lalu, digantikan dengan muadzin lain.


Sehingga diriwayatkan bahawa tidak ada hari yang paling banyak kaum lelaki dan wanita menangis lebih daripada hari itu. 


Penghulu kepada Muadzin, Bilal Bin Rabah. Manusia yang berkulit hitam tetapi sangat disayangi Rasulullah S.A.W. Siapalah kita ini jika hendak dibandingkan dengan cinta dan kasihnya Bilal kepada baginda Rasulullah S.A.W. Namun, cubalah untuk kita semaikan rasa kasih ini agar ianya bersemi. Belajar.


Semoga kita tergolong dalam kalangan manusia yang diperolehi syafaat Rasulullah.


Salam Maulidur Rasul.