Friday, December 26, 2014

Terbaik dari Langit

Aku sempat ke panggung semalam menonton salah satu filem anak tempatan. Sejujurnya, jarang aku menulis ulasan (review) mengenai sesuatu filem tetapi filem ini menyebabkan hati aku meronta-ronta untuk berkongsi sesuatu. Seakan ada sesuatu yang sangat dekat dan bernilai dalam filem ini pada aku. Terbaik dari Langit, sebuah filem anak muda yang bernama Nik Amir. Filem keduanya setelah filem KIL. Sebelum itu, buat penggemar filem-filem jenis terus dan rasa malas untuk berfikir ini bukanlah filem untuk anda. 


Jalan ceritanya agak kompleks, mengisahkan seorang lelaki bernama Berg bersama-sama rakannya membuat pengembaraan mencari UFO sambil membuat filem. Perkara yang kompleks didalam filem ini bukanlah pengembaraan tersebut tetapi beberapa scene flashback yang akan membuat penonton tertanya-tanya. Antaranya adalah persoalan Berg seakan-akan mengambil dadah, Ali yang dianggap bermasalah, Toyu yang tiba-tiba berhenti melukis dan kebencian Ijam terhadap Ali. Ada juga beberapa scene flashback yang akan menyebabkan penonton merasa hairan, seperti scene Berg berjumpa dengan arwah Atuknya, seakan tiada kaitan dalam perjalanan plot yang diceritakan. Namun, plot yang kompleks inilah sebenarnya seni bagi aku, itulah yang menjadikan filem ini sangat menarik dan wajib untuk ditonton.



“..asalkan jujur dan ikhlas pun dah cukup baik,”  salah satu dialog yang digunakan oleh seorang seniman negara yang sudah pergi.

Aku bersetuju dengan pendapat Kaz Ishak dalam rebiunya (boleh lihat link dibawah)  mengatakan filem ini lebih daripada filem yang dibikin dengan hati dan jiwa tetapi ianya juga takdir. Dalam filem ini ada beberapa part lakonan Allahyarham Aziz Satar seakan berpesan mengenai mesej terakhirnya sebelum pergi. 





"Kau rasa kalau filem tu orang tak faham siapa yang bodoh sebenarnya ?" ujar Berg kepada Ijam.

Bagi aku filem ini adalah satu teguran buat masyarakat yang masih bersifat konvensional dan tidak boleh terima sesuatu perubahan. Dialog diatas seakan menunjukan permasalahan masyarakat kita yang masih tidak mahu berubah. Terlalu selesa dengan keadaan sedia ada sehinggakan kita lupa akan kepentingan untuk majukan diri ini. Didalam satu scene talentime (salah satu scene tribute untuk Allahyarhamah Yasmin Ahmad) kumpulan Berg memilih kisah batu belah sebagai persembahan mereka. Namun, mereka telah mengubahsuai plot cerita tersebut yang jelas disukai oleh orang ramai tetapi tidak disukai oleh Cikgunya sendiri. Dalam scene ini, bagi aku ianya seolah-olah akan adanya golongan lama yang tidak mahu sesuatu yang baru. Lebih merasakan yang lama lebih baik dan menafikan untuk perubahan (tak ada kaitan dengan politik).


Malah, karekter Toyu yang tidak berani untuk berkata benar, Ijam yang suka salahkan orang lain, Berg suka berimaginasi dan mempunyai cita-cita yang tinggi sebenarnya mencerminkan keperibadian masyarakat kita. Aku melihat variasa watak ini seakan gambaran masyarakat kita yang sebenar. watak ijam yang seperti berani tetapi sebenarnya takut dengan tunangnya menunjukkan masyarakat yang mahukan perubahan tetapi masih tertanya-tanya akan kebenaran yang sebenar seperti sedang mencari identiti diri mereka yang sebenar.


Aspek lain yang sangat membuat aku teruja akan filem ini adalah daripada aspek penggunaan lagu yang akan menyebabkan jiwa penonton melayang dengan kenangan silam. Lagu sahabat daripada Pitahati kerap dimainkan dan ketika itu penonton akan dibawa bersama jiwa mereka kedalam filem tersebut. Beberapa penekanan dan elemen persahabatan didalam filem ini juga akan membawa penonton kembali mengenang zaman persekolahan. 


Diakhirnya, pemandangan yang indah, penggunaan lagu yang membuaikan dan lakonan yang baik menyebabkan ramuan filem ini sangat lengkap. Aku selalu berpendapat sesuatu filem yang sangat hebat adalah filem yang dibikin dengan hati dan jiwa. Ya, ini adalah salah satu filem yang dibikin dengan cara tersebut.

Saturday, December 20, 2014

Travelog Sumatera Barat

Rasanya kisah ini sudah layak untuk dimasukkan ke dalam buku sejarah. Sudah berhabuk. Memang sudah lama aku cuba untuk semadikan coretan ini cuma masa tak mengizinkan.  Alasan cliche. Tapi ada beberapa perkara yang menjadikan bumi itu sangat dirindui. 

Tanahnya.

Alam dan juga budaya di sana.

Tapi bukan keindahan bumi disana yang ingin aku ceritakan, cuma betapa indahnya aturan Tuhan yang diatur untuk aku dan kawan kawan ketika disana yang cuba untuk aku sampaikan. Pada mulanya program ini dibantu oleh seorang manusia yang diberi nama R. Pertama kali bertemu memang aku sentiasa khusnulzon, sebab dia adalah kawan kepada Adli (Ketua Projek). R banyak membantu kami dalam menguruskan hal-hal di sumatera barat. Beliau yang menjadi penghubung jambatan diantara kami dengan Pak Muslim (Salah seorang pensyarah di Universitas Bung Hatta dan merangkap pemandu pelancong kami di Padang). Program bermula daripada tanggal 8 hingga 13 April tapi aku dan beberapa orang yang lain pergi 2 hari lebih awal iaitu pada tarikh 6 April.


Bila sudah berada di bumi Sumatera Barat baru kami mengenali watak sebenar R. Pada mula kami bertemu aku benar benar sangka dia ikhlas untuk membantu tetapi dia tetap manusia. Ketika itu aku belajar satu perkara, jangan mudah percaya. Manusia ini terlalu banyak ragamnya. Topeng yang disua juga bersepah. Kau akan berteka-teki watak yang mana dimainkan oleh mereka. Namun apabila tabir disingkap baru kau kenal erti Manusia yang sebenar.


Pendek cerita disebabkan perselisihan yang berlaku diantara kami dan dia, lantas dia meninggalkan kami di hari akhir. Maka bermulalah pengambaraan kami di bumi orang. Tidak punya tempat berteduh dan pengangkutan. Namun, masyarakat disana sangat mesra. Mereka banyak membantu kami terutamanya Pak Muslim. Dia lah yang membantu kami mencari bas untuk ke Lapangan Terbang, dia juga yang membantu kami untuk mencari tempat tinggal sehari.


Walaupun begitu banyak dugaan yang aku terima ketika berada disana namun aku sangat merindui untuk hidu bau sumatera barat. 

Bumi yang mengeratkan silaturrahim diantara aku dan peserta yang lain. 

Bumi yang memberi inspirasi aku melalui lakaran-lakaran Tuhan yang begitu indah.

Bumi yang aku coretkan seribu satu kenangan pada dinding lakarnya.

dan Bumi Tuhan yang membuat aku lebih kenal akan Dia :)



















Wednesday, December 17, 2014

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck





Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Usai menonton filem yang sudah ditunggu sekian lama. Filem ini sangat dekat dengan diriku. Pertamanya kerana ia mengimbau kembali kenangan aku di sumatera memandangkan latar lokasi filem ini di sana. Bahasa minang yg diguna dalam filem ini juga menarik kembali utk aku terus mengingati santun dan ramah orang disana. Kedua, novelnya ditulis oleh tokoh yang aku sanjung. HAMKA. Novel ini adalah novel pertama yg aku baca.


Filemnya tidak menghampakan cuma fantasi ketika membaca novelnya tidak seindah yg dihidangkan. Bagi aku, antara perkara yg menjadi indah didalam novel adalah seni bahasa yang bijak digunakan Hamka. Seperkara yg membuatkan aku tertarik diawal pembacaan aku adalah kerana Hamka adalah seorg tokoh Ulama' yg sangat dikenali di pelusuk nusantara. Namun diluar arus perdana seorang tokoh ulama' yg arif bidang agama rupanya bijak bermain bahasa dengan mata pena.


Jelas naskhah Hamka direka bukan suka suka. Ianya penuh dengan pesan dan kritikan sosial terhadap masyarakat indonesia ketika itu. Penggunaan karekter Hayati dan Zainuddin yang berbeza latar menjadi permainan dalam cereka ini. Hayati daripada keluarga yg begitu menekankan adat minang dalam budaya. Zainuddin dari keluarga yang bercampur darah bugis dan minang diusir dari tanah asal ayahnya sendiri. Kisah cinta antara dua darjat dijadikan bahan utama dalam ingin menyampaikan mesej kepada pembaca. Sebenarnya Hamka cuba utk mengkritik tindakan masyarakat bugis dan minang yang sering bermusuhan. Terlalu mengagungkan adat resam masing masing sehinga terlupa akan nilai yang lebih utama.

HAMKA lahir pada 17 Februari 1908 di Meninjau, Sumatera Barat dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama sebenar Hamka ialah Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani di rantau Nusantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik, seorang pujangga dan ahli falsafah Islam. 

"...Di dalam usia 31 tahun (1938), masa darah muda masih cepat alirannya dalam diri, dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, pada waktu itulah 'ilham' Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini mula kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin. Setelah itu ia diterbitkan menjadi buku... Belum berapa lama tersiar, ia pun habis. 

Ramai pemuda berkata : 

"Seakan-akan tuan menceritakan nasibku sendiri." Ada pula yang berkata : " Barangkali tuan sendiri yang tuan ceritakan..."

Tuesday, December 16, 2014

Kebahagiaan

Bahagia.



Setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini pasti ingin merasai perasaan itu. Inginkan kebahagiaan. Bahkan, sebenarnya apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk mendapatkan kebahagiaan. Jika diteliti semula kitaran kehidupan, diakhir perjalanan yang kita inginkan adalah untuk mendapat kebahagiaan.


Sejak kecil ketika di bangku sekolah lagi sehinggalah ke menara gading bagi menuntut ilmu sebenarnya menggambarkan usaha setiap individu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Mempunyai pendapatan yang tinggi, membawa kereta mewah, dan memiliki rumah yang indah. Inilah impian setiap individu. Seakan-akan, manusia ini menghabiskan hampir 25 tahun sisa hidupnya hanya untuk mendapat pekerjaan yang baik. Sebenarnya, ini adalah tafsiran umum kebahagiaan mengikut individu. Segalanya bergantung pada kemewahan dan nikmat yang diberi.



Namun, dalam mengukur kebahagiaan para sarjana psikologi ada menghasilkan satu terma yang digelar "kesejahteraan psikologi". Para sarjana percaya, individu yang bahagia adalah individu yang mempunyai tahap kesejahteraan psikologi yang tinggi. Melalui konsep ini individu akan diukur mengikut beberapa dimensi, antaranya aspek kognitif, dan afektif (emosi).



Walaubagaimanapun, dalam teori hierki Maslow, konsep keinginan dan keperluan yang diinginkan oleh setiap individu dipamerkan melalui beberapa fasa. Fasa pertama adalah keperluan asas manusia yang meliputi tempat tinggal dan makanan. Fasa kedua pula adalah keselamatan dan seterusnya adalah perhubungan. Manakala, dua fasa terakhir adalah penghargaan kendiri dan penyempurnaan kendiri. Maslow cuba menjelaskan tahap demi tahap yang ingin dicapai oleh setiap individu. Namun, tidak semua individu akan mencapai tahap terakhir. Individu seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan lain-lain dikatakan antara individu yang berjaya mencapai tahap terakhir. Dalam konsep ini sebenarnya menjelaskan orang yang berjaya adalah orang yang mencapai tahap terakhir. Seolah-olah, manusia ini perlukan segalanya untuk mendapat kejayaan.



Sejujurnya, bahagia adalah satu perasaan yang aneh dan unik. Manusia sering mengaitkan bahagia dengan kemewahan nikmat yang diberi Tuhan. Saya teringat akan pesan Hamka di dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang mengatakan nikmat dunia yang utama adalah cinta.


Ya, cinta.


Agak hairan mengapa cinta dikatakan nikmat dunia paling utama oleh Hamka. Nikmatnya orang bercinta sehingga angau dan rindu, segala perkara dilupa, barangkali ketika sedang hangat ditiup api percintaan tangan yang dipotong juga tidak dirasa sakitnya. Mungkin kerana itu juga ada perumpaan "akan ku renang lautan berapi demi mu" yang sering digunakan dalam pasangan yang bercinta. Namun, nikmat cinta ini bukanlah segalanya. Hamka cuba menjelaskan nikmat cinta yang sebenar adalah cinta kepada Pemberi Cinta yang paling agung.


Ada juga manusia yang cuba mengaitkan bahagia dengan kebebasan. Seperti bahagia yang dirasai oleh burung-burung yang bebas berterbangan di udara. Agama, terutamanya Islam seringkali digambarkan sebagai agama yang rigid dan lapuk kerana banyaknya pantang larang yang ada dalam agama. Arak dilarang, khinzir diharamkan sedangkan ada yang kata daging khinzirlah paling enak dimakan. Pelik. Manusia ini memang pelik sifatnya. Dalam seribu perkara yang dihalalkan Tuhan, dua tiga perkara yang dilarang juga yang diinginkan. Maka, tidak hairanlah kenapa Adam tergoda dengan sebiji buah yang dilarang Tuhan sedangkan dia sudah mendapat nikmat yang begitu hebat. Syurga. Barangkali kerana itu juga Hamka cuba menjelaskan:-


"Jalan itu ialah agama!


Bukan lantaran agama itu melarang orang berfikir, bahkan agamalah yang membukakan pintu fikiran, menyuruh menjalankan akal dan pendapat di dalam segala perkara, dari hal alam dan dari hal manusia, bekas nikmat dan anugerah kekuasaan yang ghaib. Maksud agama ialah merentang jalan, sedang fikiran ialah untuk membanding dan menimbang." (Tasauf Moden, Hamka)



Falsafah yang gagal difahami kebanyakan manusia. Agama itu bukanlah kolot sifatnya apatah lagi kejam. Satu perasaan yang sukar digambar dan diungkap mengenai kebahagiaan dalam beragama adalah nikmat yang dirasakan ketika dekat dengan Tuhan. Seakan Dia sedang mendengar segalanya apabila diminta. Perasaan yang sukar untuk diukur.



Didalam Tasauf Moden karya Hamka, beliau ada mengatakan.



"Jalan menuju bahagia ada kalanya sukar, tetapi ada kalanya mudah. Meskipun sekian banyak huraian pendapat ahli-ahli, kita tidak mahu terlalu berenang dalam khayal. Mari kita pilih yang paling pendek, jangan lupa bahawa durinya banyak juga. Kalau tak banyak duri, tentu tak terasa enaknya berburu. Kalau tak mahu payah, suruh tangkap seekor ikan, masukkan dalam belanga, lalu kail saja, habis perkara."



Di dalam ayat ini Hamka sebenarnya menjelaskan kadangkala ketika kita memburu, memijak duri itu adalah nikmat kebahagiaan yang dirasai oleh pemburu. Bukan kerana sakitnya duri yang dipijak tetapi kerana dengan duri tersebut menjadikan berburu itu sukar. Seperti nikmat yang dirasai ketika manusia lapar yang diberi makanan, haus disua minuman. Itulah perasaan kebahagiaan sebenar. Ianya tidak perlukan kemewahan yang melimpah ruah. Cukup sekadar dirasai ketika sedang susah. Barangkali kerana itu juga ada orang mengatakan nikmat yang dirasai tidak akan dinikmati ketika ianya masih ada namun ianya akan disyukuri ketika ianya telah hilang atau pergi.





Izzat Akmal


17 Disember 2014

Thursday, December 11, 2014

Dusta

Kembara yang kian keliru
Gelisah yang hampir dipenuhi di setiap wajah
Hanya kerana hati yang sudah berdetak tanpa henti
kerana masih mencari tulen dalam isi
Jujur dalam tali bersimpuh mati



Yang sedang menanti kehadiran rusuk yang perlu diganti
Dalam lena yang dibangkit merdu,
Sangkanya sudah kembali dari fantasi
Rupanya masih kekal dalam bayang sendiri.


Izzat Akmal, 11 Disember 2014

Sunday, December 7, 2014

Perit

Jodoh itu rahsia Allah. Ianya akan dibongkar apabila tiba waktunya.

Walaupun terasa seakan telah terjumpa. Mohon petunjuk.

Kerana cinta itu peritnya terseksa.