Bahagia.
Setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini pasti ingin merasai perasaan itu. Inginkan kebahagiaan. Bahkan, sebenarnya apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk mendapatkan kebahagiaan. Jika diteliti semula kitaran kehidupan, diakhir perjalanan yang kita inginkan adalah untuk mendapat kebahagiaan.
Sejak kecil ketika di bangku sekolah lagi sehinggalah ke menara gading bagi menuntut ilmu sebenarnya menggambarkan usaha setiap individu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Mempunyai pendapatan yang tinggi, membawa kereta mewah, dan memiliki rumah yang indah. Inilah impian setiap individu. Seakan-akan, manusia ini menghabiskan hampir 25 tahun sisa hidupnya hanya untuk mendapat pekerjaan yang baik. Sebenarnya, ini adalah tafsiran umum kebahagiaan mengikut individu. Segalanya bergantung pada kemewahan dan nikmat yang diberi.
Namun, dalam mengukur kebahagiaan para sarjana psikologi ada menghasilkan satu terma yang digelar "kesejahteraan psikologi". Para sarjana percaya, individu yang bahagia adalah individu yang mempunyai tahap kesejahteraan psikologi yang tinggi. Melalui konsep ini individu akan diukur mengikut beberapa dimensi, antaranya aspek kognitif, dan afektif (emosi).
Walaubagaimanapun, dalam teori hierki Maslow, konsep keinginan dan keperluan yang diinginkan oleh setiap individu dipamerkan melalui beberapa fasa. Fasa pertama adalah keperluan asas manusia yang meliputi tempat tinggal dan makanan. Fasa kedua pula adalah keselamatan dan seterusnya adalah perhubungan. Manakala, dua fasa terakhir adalah penghargaan kendiri dan penyempurnaan kendiri. Maslow cuba menjelaskan tahap demi tahap yang ingin dicapai oleh setiap individu. Namun, tidak semua individu akan mencapai tahap terakhir. Individu seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan lain-lain dikatakan antara individu yang berjaya mencapai tahap terakhir. Dalam konsep ini sebenarnya menjelaskan orang yang berjaya adalah orang yang mencapai tahap terakhir. Seolah-olah, manusia ini perlukan segalanya untuk mendapat kejayaan.
Sejujurnya, bahagia adalah satu perasaan yang aneh dan unik. Manusia sering mengaitkan bahagia dengan kemewahan nikmat yang diberi Tuhan. Saya teringat akan pesan Hamka di dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang mengatakan nikmat dunia yang utama adalah cinta.
Ya, cinta.
Agak hairan mengapa cinta dikatakan nikmat dunia paling utama oleh Hamka. Nikmatnya orang bercinta sehingga angau dan rindu, segala perkara dilupa, barangkali ketika sedang hangat ditiup api percintaan tangan yang dipotong juga tidak dirasa sakitnya. Mungkin kerana itu juga ada perumpaan "akan ku renang lautan berapi demi mu" yang sering digunakan dalam pasangan yang bercinta. Namun, nikmat cinta ini bukanlah segalanya. Hamka cuba menjelaskan nikmat cinta yang sebenar adalah cinta kepada Pemberi Cinta yang paling agung.
Ada juga manusia yang cuba mengaitkan bahagia dengan kebebasan. Seperti bahagia yang dirasai oleh burung-burung yang bebas berterbangan di udara. Agama, terutamanya Islam seringkali digambarkan sebagai agama yang rigid dan lapuk kerana banyaknya pantang larang yang ada dalam agama. Arak dilarang, khinzir diharamkan sedangkan ada yang kata daging khinzirlah paling enak dimakan. Pelik. Manusia ini memang pelik sifatnya. Dalam seribu perkara yang dihalalkan Tuhan, dua tiga perkara yang dilarang juga yang diinginkan. Maka, tidak hairanlah kenapa Adam tergoda dengan sebiji buah yang dilarang Tuhan sedangkan dia sudah mendapat nikmat yang begitu hebat. Syurga. Barangkali kerana itu juga Hamka cuba menjelaskan:-
"Jalan itu ialah agama!
Bukan lantaran agama itu melarang orang berfikir, bahkan agamalah yang membukakan pintu fikiran, menyuruh menjalankan akal dan pendapat di dalam segala perkara, dari hal alam dan dari hal manusia, bekas nikmat dan anugerah kekuasaan yang ghaib. Maksud agama ialah merentang jalan, sedang fikiran ialah untuk membanding dan menimbang." (Tasauf Moden, Hamka)
Falsafah yang gagal difahami kebanyakan manusia. Agama itu bukanlah kolot sifatnya apatah lagi kejam. Satu perasaan yang sukar digambar dan diungkap mengenai kebahagiaan dalam beragama adalah nikmat yang dirasakan ketika dekat dengan Tuhan. Seakan Dia sedang mendengar segalanya apabila diminta. Perasaan yang sukar untuk diukur.
Didalam Tasauf Moden karya Hamka, beliau ada mengatakan.
"Jalan menuju bahagia ada kalanya sukar, tetapi ada kalanya mudah. Meskipun sekian banyak huraian pendapat ahli-ahli, kita tidak mahu terlalu berenang dalam khayal. Mari kita pilih yang paling pendek, jangan lupa bahawa durinya banyak juga. Kalau tak banyak duri, tentu tak terasa enaknya berburu. Kalau tak mahu payah, suruh tangkap seekor ikan, masukkan dalam belanga, lalu kail saja, habis perkara."
Di dalam ayat ini Hamka sebenarnya menjelaskan kadangkala ketika kita memburu, memijak duri itu adalah nikmat kebahagiaan yang dirasai oleh pemburu. Bukan kerana sakitnya duri yang dipijak tetapi kerana dengan duri tersebut menjadikan berburu itu sukar. Seperti nikmat yang dirasai ketika manusia lapar yang diberi makanan, haus disua minuman. Itulah perasaan kebahagiaan sebenar. Ianya tidak perlukan kemewahan yang melimpah ruah. Cukup sekadar dirasai ketika sedang susah. Barangkali kerana itu juga ada orang mengatakan nikmat yang dirasai tidak akan dinikmati ketika ianya masih ada namun ianya akan disyukuri ketika ianya telah hilang atau pergi.
Izzat Akmal
17 Disember 2014

No comments:
Post a Comment