Aku sempat ke panggung semalam menonton salah satu filem anak tempatan. Sejujurnya, jarang aku menulis ulasan (review) mengenai sesuatu filem tetapi filem ini menyebabkan hati aku meronta-ronta untuk berkongsi sesuatu. Seakan ada sesuatu yang sangat dekat dan bernilai dalam filem ini pada aku. Terbaik dari Langit, sebuah filem anak muda yang bernama Nik Amir. Filem keduanya setelah filem KIL. Sebelum itu, buat penggemar filem-filem jenis terus dan rasa malas untuk berfikir ini bukanlah filem untuk anda.
Jalan ceritanya agak kompleks, mengisahkan seorang lelaki bernama Berg bersama-sama rakannya membuat pengembaraan mencari UFO sambil membuat filem. Perkara yang kompleks didalam filem ini bukanlah pengembaraan tersebut tetapi beberapa scene flashback yang akan membuat penonton tertanya-tanya. Antaranya adalah persoalan Berg seakan-akan mengambil dadah, Ali yang dianggap bermasalah, Toyu yang tiba-tiba berhenti melukis dan kebencian Ijam terhadap Ali. Ada juga beberapa scene flashback yang akan menyebabkan penonton merasa hairan, seperti scene Berg berjumpa dengan arwah Atuknya, seakan tiada kaitan dalam perjalanan plot yang diceritakan. Namun, plot yang kompleks inilah sebenarnya seni bagi aku, itulah yang menjadikan filem ini sangat menarik dan wajib untuk ditonton.
“..asalkan jujur dan ikhlas pun dah cukup baik,” salah satu dialog yang digunakan oleh seorang seniman negara yang sudah pergi.
Aku bersetuju dengan pendapat Kaz Ishak dalam rebiunya (boleh lihat link dibawah) mengatakan filem ini lebih daripada filem yang dibikin dengan hati dan jiwa tetapi ianya juga takdir. Dalam filem ini ada beberapa part lakonan Allahyarham Aziz Satar seakan berpesan mengenai mesej terakhirnya sebelum pergi.
"Kau rasa kalau filem tu orang tak faham siapa yang bodoh sebenarnya ?" ujar Berg kepada Ijam.
Bagi aku filem ini adalah satu teguran buat masyarakat yang masih bersifat konvensional dan tidak boleh terima sesuatu perubahan. Dialog diatas seakan menunjukan permasalahan masyarakat kita yang masih tidak mahu berubah. Terlalu selesa dengan keadaan sedia ada sehinggakan kita lupa akan kepentingan untuk majukan diri ini. Didalam satu scene talentime (salah satu scene tribute untuk Allahyarhamah Yasmin Ahmad) kumpulan Berg memilih kisah batu belah sebagai persembahan mereka. Namun, mereka telah mengubahsuai plot cerita tersebut yang jelas disukai oleh orang ramai tetapi tidak disukai oleh Cikgunya sendiri. Dalam scene ini, bagi aku ianya seolah-olah akan adanya golongan lama yang tidak mahu sesuatu yang baru. Lebih merasakan yang lama lebih baik dan menafikan untuk perubahan (tak ada kaitan dengan politik).
Malah, karekter Toyu yang tidak berani untuk berkata benar, Ijam yang suka salahkan orang lain, Berg suka berimaginasi dan mempunyai cita-cita yang tinggi sebenarnya mencerminkan keperibadian masyarakat kita. Aku melihat variasa watak ini seakan gambaran masyarakat kita yang sebenar. watak ijam yang seperti berani tetapi sebenarnya takut dengan tunangnya menunjukkan masyarakat yang mahukan perubahan tetapi masih tertanya-tanya akan kebenaran yang sebenar seperti sedang mencari identiti diri mereka yang sebenar.
Aspek lain yang sangat membuat aku teruja akan filem ini adalah daripada aspek penggunaan lagu yang akan menyebabkan jiwa penonton melayang dengan kenangan silam. Lagu sahabat daripada Pitahati kerap dimainkan dan ketika itu penonton akan dibawa bersama jiwa mereka kedalam filem tersebut. Beberapa penekanan dan elemen persahabatan didalam filem ini juga akan membawa penonton kembali mengenang zaman persekolahan.
Diakhirnya, pemandangan yang indah, penggunaan lagu yang membuaikan dan lakonan yang baik menyebabkan ramuan filem ini sangat lengkap. Aku selalu berpendapat sesuatu filem yang sangat hebat adalah filem yang dibikin dengan hati dan jiwa. Ya, ini adalah salah satu filem yang dibikin dengan cara tersebut.

No comments:
Post a Comment